Sunday, March 1, 2009

Insiden di parlimen: apa sebenar pengertian anda sebagai orang Melayu?


Saya tertarik dengan pandangan Aziz Hassan (Chonot) pada blognya kelmarin. Berikut terjemahan postingnya itu...

"Zaman telah berubah...dan orang Melayu juga tidak terkecuali daripada perubahan ini – perubahan yang sering kali membawa kesan negatif kepada bangsa. Macam mana sekali pun, sebagai seorang Melayu dan seorang rakyat Malaysia, saya tersentak. Sedih benar.

Beberapa tahun lalu tok guru saya dalam kewartawanan, allahyarham A.Samad Ismail yang juga dikenali dengan nama Pak Samad pernah melahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan tahap kesopanan di kalangan ahli politik, terutama semasa sesi parlimen. Beliau seringkali membandingkan ahli parlimen kita dengan ahli parlimen di Britain, dan perbezaannya begitu ketara. Kini kita melihat pihak pembangkang yang agak kuat di parlimen, dengan sebahagian besar daripada mereka mempunyai kelayakan akadamik mengakumkan, tetapi selepas 20 tahun tidak banyak perubahan yang berlaku. Malangnya antara sikap paling buruk ialah di kalangan ahli-ahli yang senior dan veteran.

Apabila ahli-ahli UMNO meluahkan rasa marah terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh ketika dia sedang memasuki Parlimen dua hari lalu, saya rasa insiden tersebut bukan sekadar berkaitan dengan politik atau hanya masalah dengan Pemuda UMNO. Saya percaya mereka telah sejak awal lagi mempertimbangkan apa yang diucapkan oleh karpal di Parlimen dua hari lepas sebagai satu penghinaan kepada seluruh orang Melayu.

Tetapi jika 10 tahun lalu orang Melayu akan menyanjung Pemuda UMNO jika ini berlaku, (malahan lebih dari itu mereka akan mengharapkan pemuda UMNO memberi reaksi yang sama bagi mempertahankan orang Melayu), kali ini ramai pula di antara orang Melayu menyifatkan tindakan mereka sebagai melampau apabila melanggar peraturan dan memalukan Parlimen Malaysia. Ada juga di antara orang Melayu yang cuba mendefinasikan makna perkataan celaka yang diucapkan Karpal itu...macamlah kita tak tahu yang perkataan itu membawa pelbagai makna, di mana tiap satu daripadanya bergantung pada konteks dan konotasi keadaan.

Secara singkat, dalam keadaan terbaru ini ada di antara orang Melayu yang tidak berasa terhina berikutan apa yang diucapkan Karpal. Ini kerana pada mereka sasaran Karpal hanyalah Pemuda UMNO. Ada juga yang berkata pada masa-masa lain tidak kurang juga ahli parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang mengeluarkan kata-kata kesat. Sebenarnya orang Melayu yang berpendirian sebegini tidak mengerti bahawa apa yang dikatakan ahli-ahli parlimen lain itu tidak boleh disamakan dengan apa yang diucapkan oleh Karpal. Insiden-insiden lain itu di antara individu, tetapi episod terbaru ini di di antara seorang ahli parlimen dan sebuah pergerakan politik yang mempunyai keahlian eksklusif bangsa Melayu. Ia adalah dua keadaan berlainan.

Tetapi, inilah sisfat orang politik. Mereka hilang deria imbangan dan penilaian. Akal budi tidak lagi diperlukan. Mereka mencari alasan demi alasan untuk mempertahan dan menegakkan apa yang mereka percaya dan siapa yang mereka percaya. Kita sentiasa menyangkal diri dan pandangan kita untuk menyesuaikan dengan sesuatu keadaan.

Dalam banyak reaksi yang dilaporkan media arus perdana kelmarin saya terbaca satu di New Straits Times, di bahagian bawah muka surat 8. Ia mengenai liputan sidang akhbar yang dihadiri Karpal, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim. Nak tahu apa yang diperkatakan oleh Anwar mengenai Pemuda UMNO? Anwar berkata dia berasa kecewa dengan sikap biadab mereka. Apa halnya ni?...

Apakah dia bersedia mengatakan yang sama mengenai demonstrasi-demonstrasi jalanan di mana penunjuk perasaan meneriakkan kata-kata lucah, membaling batu dan botol ke arah polis?"


 

No comments:

Post a Comment